|
Pasukan Tim Pelatih Gerak Khas (TPGK) ini ditubuhkan untuk mengumpul tenaga pelatih dari kalangan Kelana dan pengakap dewasa yang sudi dan bersedia memberi sokongan padu, khususnya dari segi masa dan tenaga, di dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang diluluskan oleh Pesuruhjaya-Pesuruhjaya di peringkat Negeri dan Daerah. Peranan utama Pasukan ini ialah untuk memberi sokongan dan bantuan kepada Pasukan-Pasukan Latihan Negeri dan Daerah. Setiap ahli haruslah, dengan seberapa daya upaya menyahut seruan apabila tenaga mereka diperlukan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti anjuran Pasukan Latihan tersebut. TPGK adalah satu kumpulan yang berbeza daripada Kumpulan Jurulatih Negeri yang keahlian lazimnya terdiri daripada ‘pemegang’ Manikayu.
TPGK adalah bertanggungjawab secara langsung kepada Pesuruhjaya Pengakap Negeri dan ‘penggunaan’ Tim ini hendaklah dengan persetujuan beliau. Tugas-tugas yang akan dipikul oleh TPGK akan merangkumi tiga bidang-bidang utama seperti berikut : - Aktiviti-aktiviti Latihan dan Program.
- Aktiviti0aktiviti social anjuran Jabatan Kerajaan, Majlis Belia dan Badani-Badan ‘NGO’ yang diiktiraf.
- Aktiviti-aktiviti Khidmat Masyarakat.
Ahli-ahli TPGK akan bergerak di dalam kumpulan-kumpulan kecil yang dikenali sebagai ‘skuad’, dan setiap skuad di anggotai oleh empat atau lima orang. Setiap skuad akan dipimpin oleh seorang Ketua yang dipilih di antara mereka mengikut kepopularan. Seorang Ketua dan seorang Penolong Ketua akan dilantik oleh Pesuruhjaya Pengakap Negeri untuk memimpin bagi tempoh dua tahun.Pelantikan ini boleh disambung atau pemimpin baru boleh dilantik apabila habis tempoh dan jika berlaku kekosongan. Ketua TPGK juga adalah ahli di dalam Pasukan Latihan Negeri dan Pasukan Program Negeri. Tim ini akan ditadbirkan oleh satu Jawatankuasa TPGK yang dianggotai oleh 12 orang ahli yang dipilih di dalm mesyuarat tahun TPGK. Ketua TPGK adalah bertanggungjawab untuk memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat tahunan TPGK dan mesyuarat Jawatankuasa TPGK. Di dalam masa ketiadaan Ketua TPGK, Penolong Ketua akan menjalankan segala tugas sebagai Ketua. Jawatankuasa TPGK akan kerap berjumpa dan berbincang perkara-perkara seperti berikut : - Pendaftaran ahli-ahli baru dan prestasi ahli-ahli.
- Membincang menjaga maruah pengakap dan TPGK.
- Merancang aktiviti untuk ahli-ahli.
- Merancang perlaksanaan tugas yang diberi oleh Pesuruhjaya Pengakap Negeri.
- Membincang kebajikan ahli-ahli.
KeahlianTPGK adalah terbuka kepada semua pengakap yang berumur 18 tahun ke atas dan telah menjadi ahli Kumpulan-Kumpulan PPM WPKL di peringkat Daerah masing-masing. ‘Pemegang-pemegang’ Manikayu juga boleh diterima sebagai ahli TPGK, tetapi Manikayunya tidak memberi apa jua kelebihan ke atas ahli-ahli lain. ‘Pemegang-pemegang’ tauliah hanya boleh menjadi ahli TPGK dengan mendapat persetujuan khusus daripada Persuruhjaya Pengakap Negeri. Setiap ahli TPGK hendaklah berusaha memenuhi syarat-syarat untuk kekal di dalam Tim dan meningkat maju sehingga mencapai Kategori tertinggi sebagai Pemimpin Pelatih. Satu Daftar Keahlian TPGK akan disedia dan dikemaskinikan oleh Setiausaha Latihan dan tersimpan di Ibu Pejabat PPM WPKL. Keahlian dalam TPGK adalah terbahagi kepada empat kategori. Ahli-ahli adalah digalakkan untuk berusaha memenuhi syarat-syarat tertentu untuk meningkat maju ke kategori yang tertinggi. - Pelatih TPGK
- Pelatih Kanan
- Pelatih Pakar
- Pemimpin Pelatih
Ahli-ahli TPGK adalah dilatih di dalam pelbagai ilmuan dan kemahiran agar dapat memainkan peranan berkesan, bukan sahaja dalam aktiviti pengakapan tetapi juga dalam aspek khidmat masyarakat. Disamping itu, mereka juga akan berpeluang mendapat ilmu dan kemahiran untuk ‘self-development’. Selain daripada kursus-kursus anjuran pergerakan pengakap, Pasukan Latihan Negeri juga akan berusaha mengadakan kursus-kursus denan kerjasama ‘NGO’ dan jabatan/agensi kerajaan seperti Belia dan Sukan, MARA, JPA3,Bomba dan Angkatan Tentera Malaysia. Sebahagian daripada kursus-kursus juga akan memenuhi syarat-syarat untuk ahli-ahli meningkat ke kategori yang lebih tinggi. Ahli-ahli TPGK akan mendapat beberapa keistimewaanmengikut kategori masing-masing.Jenis keistimewaan akan dipinda dari masa ke semasa mengikut keadaan dan kesesuaian. Di antara keistimewaan yang akan dipertimbangkan adalah seperti berikut : - - Mendapat keutamaan untuk dipilih menghadiri : -
- Kursus-kursus pembangunan diri (self-development courses)
- Kursus-kursus kepimpinan dan Pengurusan.
- Mendapat pembiayaan untuk menghadiri kursus-kursus terpilih.
- Mendapat pembiayaan apabila terlibat di dalm aktiviti-aktiviti pengakap seperti perkhemahan dan Jambori.
Lencana bagi setiap kategori akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PPM WPKL. Ianya akan dipakai di bahagian atas poket kiri pakaian seragam.Pelatih akan mendapat satu lencana setiap kali dia meningkat ke kategori yang lebih tinggi dan mencantumkan dengan lencana yang sedia ada.Apabila mendapat kesemua empat lencana bagi semua kategori dan dicantumkan di pakaian seragam, ia akan dilihat sebagai satu lencana berbentuk tiga segi. Semua Pesuruhjaya, khususnya Pesuruhjaya Daerah haruslah mengambil langkah mula dengan mengenalpasti calon-calon untuk disokong menjadi ahli-ahli TPGK. Mereka yang terpilih akan terus kekal sebagai ahli berdaftar di dalam Daerah masing-masing, tetapi Pesuruhjaya Daerah hendaklah berkerjasama dengan memberi ‘pelepasan’ untuk mereka menjalani latihan atau menjalankan tugas TPGK apabila diperlukan. Pesuruhjaya Daerah juga boleh meminta bantuan TPGK untuk menjayakan aktiviti-aktiviti anjuran Daerah masing-masing. Sama-sama kita doakan dan berusaha agar PPM WPKL berjaya membentuk TPGK ini untuk menjadi satu pasukan pengakap yang mantap dan berupaya memberi khidmat yang berkesan kepada pergerakan kita dan juga masyarakat. disediakan oleh : MEJER (B) MOHD SALLEHUDDIN AB GHANI Pesuruhjaya Pengakap Negeri |